Disebelah Leman terbaring Lela memeluk erat adiknya. Lela sering tidur bersama Leman. Sekali-sekala pulang kerumah, Lela banyak tidur dan bermain dengan adiknya yang kurang upaya itu. Begitu juga dengan adik-adik lelakinya yang lain. Begitulah cara mereka adik-beradik melepaskan rindu dan menunjukkan tanda kasih kepada Leman. Kadang-kadang mereka bergilir-gilir, memandikan dan memberi makan kepada Leman. Leman sangat suka jika dibawa berjalan-jalan dan dimanjakan abang kakaknya.
Dikala sihat, Leman sangat lincah dan nakal. Sering mengusik dan diusik adik beradik. Kadang-kadang makcik Limah dan anak-anak yang lain juga tidak tahan dengan gurauan Leman. Ditampar dan dicakar ketika mereka sedang tidur dan berehat. Tapi bodoh lah mereka jika membalas perbuatan Leman yang kurang akal itu.
Tenaga Leman kuat, badannya berat. Maklum sahaja umurnya juga semakin meningkat dewasa. Saban hari badan makcik Limah semakin lemah, dia juga semakin tua. Sehari mengangkat Leman, demam makcik Limah dibuatnya. Dahulu, makcik Limah mampu memandikan Leman dua kali sehari, menyalin lampin setiap kali penuh. Namun kudrat tua makcik Limah membataskan rutin dia. Leman hanya dimandikan sekali sehari sahaja. Tambahan jika mereka hanya tinggal berdua dirumah.
Pagi kelmarin makcik Limah membawa Leman ke PDK dengan ditemani anak sulungnya Luqman. Walaupun Leman menunjukkan tanda-tanda mahu demam, tapi makcik Limah terpaksa pergi juga, kebetulan Luqman tiada kelas pada hari itu. Tambahan kesibukan Abang Aji, suami makcik Limah menyukarkan mereka untuk selalu ke kelas di PDK. Jika hendak diikutkan hati, makcik Limah bukan lah rajin sangat untuk ke PDK. Tiada apa sangat yang boleh dibuat Leman disekolah PDKnya itu, Tapi jika kedatangannya kurang, elaunnya akan disekat pada bulan itu.
Leman bukanlah seperti kebanyakan anak-anak OKU yang lain. Dia menghidap cerebral palsy. Masalah saraf yang dihadapinya membuatkan Leman pekak dan bisu. Kemampuan dia untuk memahami juga kurang. Membuatkan Leman tidak mampu belajar menguruskan diri, apatah lagi untuk memahami ABC. Leman hanya mampu merengek dan mendesah untuk meminta makanan. Menangis dan mengerang ketika sakit. Ada ketika dia memukul-mukul dirinya sendiri, menunjukkan rasa marah dan protes, atau melukakan dirinya jika merajuk. Hanya keluarga yang menjaganya sahaja memahami Leman.
Sifat Leman yang sensitif, meminta perhatian yang penuh daripada makcik Limah dan yang lain. Hal ini membuatkan Saleh si anak bongsu sering merasa terpinggir. Saleh sering merasa keliru dan memberontak kerana kurang mendapat perhatian. Mujur masih ada abang-abang yang menyedari dan melayan kerenah Saleh. Sungguh makcik Limah bukan mahu berat sebelah, dia telah cuba untuk memberi yang terbaik buat kesemua lapan orang anaknya.
Pak Aji pula sibuk pagi dan petang. Tugas menguruskan rumah dan anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada makcik Limah. Tetapi pak Aji juga tidak pernah lepas tangan dalam menjalani tanggungjawabnya terhadap anak-anak. Anak-anak yang besar, dihantar bersekolah di sekolah agama berasrama. Supaya mereka belajar berdikari dan diberi nilai-nilai agama. Kata Pak Aji, dia tidak kisah kalau anaknya lemah akademik, asal tidak lupa akhirat. Anak-anak yang bersekolah rendah diuruskan sendiri pak Aji. Disubuh hari mereka dikejutkan untuk bersiap dan dihantar kesekolah. Disebelah petang pak Aji membawa ke masjid berdekatan sekolah petang untuk bersiap dan makan. Saban maghrib baru pak Aji pulang dari tempat kerja dan mengambil anak-anaknya pulang kerumah. Hari minggunya pula jarang dirumah. Pak Aji mengambil peluang membuat kerja lebih masa, demi menanggung sara hidup keluarganya.
Tapi itu semua dahulu ketika anak-anaknya masih kecil. Sekarang umur pak Aji juga sudah tua, sudah boleh pencen. Tetapi anak-anaknya semua masih belajar. Jauh di negara orang pula. Rutin pak Aji masih tidak berubah. Walaupun sudah sakit-sakit, anak-anak masih diutamakannya. Maklum sahaja, pak Aji tidak mempunyai kelulusan tinggi, sudah berpuluh-puluh tahun bekerja baru dapat gaji ribuan ringgit. Sebab itu pak Aji tegas pasal pelajaran. Jika dilihat kemampuan anak-anaknya dalam pelajaran, diberi kata semangat dan dorongan, kata pak Aji dia tidak mahu anak-anaknya susah menjadi kuli seperti dia.
Malam itu seperti biasa, selepas pulang bekerja pada waktu maghrib, pak Aji bersiap terus ke masjid. Selepas Isyak pak Aji belum pulang. Ada usrah mungkin, duga makcik Limah didalam hati. Petang tadi makcik Limah sudah berikan Leman ubat sawannya. Luqman telah lama pulang ke kolejnya. Tinggal makcik Limah bersama dua orang anaknya dirumah, Leman dan Lela. Sedang makcik Limah menggosok baju diatas rumah, dia dikejutkan dengan bunyi teriakan lela dibawah.
"Ibu...ibu.. badan Leman keras.. ibu cepat tengok kenapa Leman ni.. ibu...ibu..." Lela menjerit-jerit memanggil ibunya. Tidak sempat menutup suis seterika, makcik Limah sudah berlari-lari menuruni tangga berkejar kearah kedua anaknya. Hati makcik Limah berdegup pantas, bimbang dan lelah berlarian.
"Ya Allah anak aku.." itu sahaja yang keluar daripada bibir makcik Limah melihat Leman yang sedeng terkejang-kejang. Mata leman terbuka luas, air liurnya meleleh, jari-jemarinya tergenggam kemas. Makcik Limah kalut sendirian. Lela sudah hilang daripada pandangan, cuba menghubungi pak Aji yang masih belum menunjukkan tanda akan pulang.
Dalam kekalutan begitu tiada apa yang boleh dilakukan. Makcik Limah hanya berdoa didalam hati. Lidahnya dan bibirnya bergerak-gerak membaca selawat dan zikir-zikir penenang hati. Tangannya mengurut-urut perlahan tangan Leman. Lela pula mengurut-urut perlahan kaki adiknya yang masih kekerasan itu. Tidak lama kemudian pak Aji pulang memberi salam. Enjin kereta segera dihidupkan, Leman diangkat masuk kedalam kereta. Kereta mereka membelah malam, berkejar keklinik panel berdekatan.
Tiba diklinik keadaan Leman sudah tidak begitu teruk. Kejangnya sudah hilang, matanya kembali berkelip. Namun mereka tetap membuat pemeriksaan ke atas Leman. Ternyata suhu badan Leman mencecah 40 darjah menunjukkan dia demam panas. Leman jarang sakit teruk, tapi keaadaan makcik Limah yang kurang sihat dan lalai dalam menguruskan Leman membuatkan dia mudah jatuh sakit. Hendak diharapkan anak-anak yang lain memang susah. Mereka belajar jauh-jauh, dan pulang sekali-sekala. Mereka juga tidak menguruskan Leman terlalu lama. Jika setiap waktu dipanggil akan mengeluh penat dan tak larat.
Pulang dari klinik Leman yang sudah lena didalam kereta kembali terjaga. Lela yang kepenatan melayan adiknya sepanjang perjalanan dan dklinik merebahkan badan disebelah Leman. Dipeluk erat adiknya. Diusap erat belakang badan Leman yang masih panas. Didodoikannya perlahan dengan zikir-zikir dan selawat meskipun Leman tidak boleh mendengar. Akhirya keduanya tertidur.
Makcik Limah mengambil selimut, menutup kedua beradik itu. Pak Aji sudah naik keatas. Makcik Limah merasa sangat letih, tetapi digagahi badannya kebilik air. Ditenangkan hatinya dengan mengambil air wuduk. Makcik Limah mengerjakan solat dua rakaat. Berdoa memohon hajat. hatinya menangis mengadu kepada Allah.
" Ya Allah, kau ambillah Leman sebelum kau memanggil ajalku.."
Sebak hati makcik Limah berdoa. Dia tidak mahu jika dia tiada, tiada siapa yang mahu menjaga Leman. Kerana anak makcik Limah OKU.
" Barang siapa yang mengerjakan kebajikan, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan akan Kami berikan balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah kami kerjakan."
[An-Nahl, 16: 97]
Till we meet again, Wallahualam..
[An-Nahl, 16: 97]
Till we meet again, Wallahualam..
No comments:
Post a Comment